Polis nafi berlaku kes culik kanak-kanak di Pasir Gudang - Utusan Malaysia

Polis nafi berlaku kes culik kanak-kanak di Pasir Gudang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Polis hari ini menafikan berlakunya kes culik seorang kanak-kanak lelaki di Taman Nusa Damai, Pasir Gudang di sini pada Selasa sebagaimana yang tular dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Norazam Shaari berkata, penculikan dikatakan berlaku kerana ibu kanak-kanak itu panik selepas mendapati anaknya tidak pulang ke rumah pengasuh seperti kebiasaan sebaik turun dari bas sekolah, selain melihat beg dan buku-buku sekolah anaknya bertaburan di sekitar tempat turun bas.

“Kira-kira pukul 6.00 petang, kanak-kanak itu bagaimanapun pulang ke rumah di Taman Bukit Dahlia dengan menumpang sebuah kenderaan. Difahamkan anaknya turut panik apabila turun dari bas dan ternampak sebuah van putih yang dinaiki oleh orang yang tidak dikenali.

“Namun selepas disiasat, penculikan oleh van putih itu tidak pernah berlaku dan pengadu (ibu mangsa) telah pun menarik semula laporannya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dua hari lepas, seorang wanita memuat naik satu kenyataan bersama sekeping gambar anaknya berusia sembilan tahun dalam akaun laman rasmi Facebooknya, meminta orang ramai menularkannya selepas anaknya tidak pulang ke rumah pengasuh. – Bernama
 
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×