KUALA LUMPUR 31 Jan.- Polis melepaskan tiga das tembakan ke arah sebuah kenderaan curi yang dinaiki seorang lelaki setelah mengejar kenderaan itu di Taman Bukit Angsana, Cheras di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu, suspek berusia 31 tahun itu bagaimanapun berjaya diberkas selepas kereta curi yang dipandunya terbabas.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff berkata, pihaknya mula mengejar kenderaan yang dinaiki suspek selepas menerima maklumat mengenai kejadian kecurian kenderaan di Pandan Indah, Ampang Selangor.
Ujarnya, susulan itu tiga buah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan anggota Unit Rondaan Bermotorsikal dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Bagaimanapun, anggota bertugas telah mengarahkan kenderaan itu berhenti namun pemandunya enggan dan terus memecut laju kenderaan tersebut.
“Suspek juga telah melanggar beberapa buah kenderaan milik awam dan sebuah kedai di lokasi kejadian sebelum kereta curi berkenaan terbabas lalu terbalik,” katanya di sini hari ini.
Tambah Ahmad Dzaffir, semakan lanjut ke atas suspek dikatakan mempunyai enam rekod lampau dan satu daripadanya masih berstatus dikehendaki.
“Suspek akan ditahan reman bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 307 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan curi kenderaan,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE











