SEPANG 29 Jan. – Kematian suami isteri dalam kebakaran di sebuah rumah teres di Taman Desa Vista, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang semalam diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, laporan awal bedah siasat terhadap mayat Norwahidah Abdul Hamid, 28, mendapati terdapat kesan kecederaan akibat hentakan benda keras di kepalanya.
“Polis kini sedang merekod beberapa keterangan individu di tempat kejadian bagi membantu siasatan kes berkenaan dan laporan bedah siasat mangsa kedua iaitu suaminya masih belum selesai.
“Kertas siasatan kes tersebut juga dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Media hari ini melaporkan, pasangan pengantin baharu itu maut dalam kebakaran pada pukul 1.13 petang semalam dengan Norwahidah ditemukan di atas katil sebuah bilik manakala suaminya, Wan Baharul Nizam Wan Bakar, 35, berada di dalam bilik air.
Jenazah kedua-dua mangsa yang merupakan kakitangan di Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya itu dibawa ke Hospital Serdang untuk tindakan lanjut.
Norwahidah dan Wan Baharul Nizam dijangka akan melangsungkan majlis persandingan pada 2 dan 6 Februari ini. – UTUSAN ONLINE










