SEPANG – Kematian sepasang pengantin baharu maut dalam kebakaran di sebuah rumah teres di Taman Desa Vista, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang semalam diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, hasil laporan awal bedah siasat terhadap mayat Norwahidah Abdul Hamid, 28, mendapati ada unsur jenayah apabila terdapat kesan kecederaan akibat hentakan benda keras di kepalanya.
Jelasnya, polis sedang dalam proses merekod beberapa keterangan individu di tempat kejadian bagi membantu siasatan kes tersebut
“Polis juga sedang menunggu laporan bedah siasat mangsa kedua iaitu suaminya.
“Kertas siasatan kes tersebut telah dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.
Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan dalam kejadian pada pukul 1.13 petang itu, Norwahidah ditemui di atas katil sebuah bilik manakala suaminya, Wan Baharul Nizam Wan Bakar, 35, berada di dalam bilik air.
Sewaktu kejadian, kedua-dua mangsa berada di dalam rumah tersebut.
Jenazah kedua-dua mangsa yang merupakan kakitangan di Jabatan Pendaftaran Negara dekat Putrajaya itu dibawa ke Hospital Serdang untuk tindakan lanjut.
Norwahidah dan Wan Baharul Nizam dijangka melangsungkan majlis resepsi perkahwinan secara berasingan pada 2 dan 6 Februari ini. – K! ONLINE










