JOHOR BAHRU – Polis sedang mengesan seorang lelaki yang didakwa menunggang motosikal dalam keadaan berbogel di Jalan Ayer Hitam-Kluang, dekat Kluang, selepas gambarnya berkelakuan demikian tular di laman sosial hari ini.
Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner, Mohd. Abduh Ismail berkata, polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil membuat laporan bagi membantu siasatan.
“Polis kini sedang giat mengesan lelaki itu sekali gus menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.
Jika didapati normal, lelaki itu boleh dikenakan tindakan kerana berkelakukan tidak senonoh dan mengganggu ketenteraman awam,” katanya yang dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, gelagat lelaki tersebut yang menunggang motosikal tanpa seurat benang menarik perhatian pengguna jalan raya di kawasan terbabit sehingga menyebabkan ada antara mereka mengambil gambar.
Gambar tersebut kemudian dimuat naik di laman sosial sehingga tular.
Dalam kes berasingan, Mohd Abduh berkata pihaknya menafikan berlakunya kejadian seorang kanak-kanak berumur setahun dilarikan oleh individu menaiki sebuah kereta di Batu 7, Kluang seperti yang turut tular di laman sosial.
Beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan berita tular di laman sosial atau aplikasi tertentu sebaliknya menghubungi polis bagi mendapatkan pengesahan mengenainya.
Orang ramai juga katanya, turut diingatkan tidak menyebarkan berita palsu bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia 1998. – Bernama











