KUALA LUMPUR 22 Jan. – 10 jalan raya di sekitar ibu kota yang dikategorikan sebagai kawasan panas (hot spot) akan diberi tumpuan semasa Op Selamat 14 yang bermula 29 Januari hingga 12 Februari depan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, 10 jalan tersebut ialah Jalan Kepong, Jalan Cheras, Jalan Ipoh, Jalan Tun Razak, Jalan Kuching, Jalan Ampang, Jalan Klang Lama, Jalan Duta, Jalan Sungai Besi dan Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
“10 jalan tersebut dipilih berdasarkan kes kemalangan yang sering dicatatkan semasa Op Selamat tahun lalu.
“Untuk Op Selamat tahun ini, sebanyak 13 pegawai kanan dan 186 anggota akan ditugaskan bagi memastikan keselamatan jalan raya dan kelancaran lalu lintas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran kempen Op Selamat 14 bersempena Tahun Baru Cina di Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee, di sini hari ini.
Menurut Mazlan, Op Selamat kali ini juga akan memberi tumpuan kepada enam kesalahan trafik iaitu pandu laju, penggunaan telefon bimbit semasa memandu, salah guna lorong kecemasan, potong barisan, potong garisan berkembar dan langgar lampu isyarat. – UTUSAN ONLINE










