KOTA KINABALU – Polis bertindak mengikut prosedur dalam menangani kejadian seorang lelaki menjadikan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sebagai tebusan dalam sebuah rumah di blok apartmen Telipok Ria, dekat sini semalam.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, rundingan dengan lelaki itu dibuat antara anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Polis Daerah Tuaran.
Katanya, polis juga mendapatkan bantuan orang awam menjadi penterjemah Bahasa Sulok untuk berkomunikasi dengan lelaki itu.
“Proses rundingan gagal dan polis terpaksa melepaskan tembakan terhadap lelaki itu apabila dia bertindak hendak melontar kanak-kanak itu dari tingkap di unit rumah terletak di tingkat empat itu,” katanya pada sidang akhbar di IPK Sabah Kepayan hari ini.
Dalam kejadian itu, lelaki yang sehingga hari ini tidak dikenal pasti identitinya mati ditembak di tempat kejadian. – Bernama










