PETALING JAYA – Polis menahan lapan gadis pelayan pelanggan (GRO) di sebuah premis di Jalan 7/26, Kelana Jaya di sini dalam serbuan Ops Noda awal pagi tadi.
Lapan wanita warga Indonesia tersebut sanggup tinggal di dalam empat bilik yang sempit di bahagian belakang premis berkenaan sambil menjual tubuh.
Pegawai Turus Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7)
Selangor Deputi Superintendan Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, kesemua wanita yang ditahan berusia antara 24 tahun hingga 34 tahun.
“Hasil siasatan awal mendapati GRO tersebut memperoleh komisen berdasarkan jumlah pelanggan yang dilayan mereka.
“Semakin ramai pelanggan, semakin banyak komisen yang diperoleh jadi ia merupakan satu bentuk pemasaran oleh wanita-wanita itu,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Khaizam menambah, tiada unsur pelacuran dikesan dan pihaknya masih menyiasat perkara tersebut.
“Premis tersebut juga tidak mempunyai lesen pusat hiburan dan kita telah rampas beberapa barangan mereka antaranya pembesar suara dan mikrofon serta wang tunai bernilai RM100.
“Polis juga menahan penjaga mereka iaitu seorang lelaki warga tempatan dan lelaki warga Bangladesh yang menjadi pekerja di situ,” ujarnya.
Premis yang pertama kali diserbu ini dibuka setiap hari bermula pada pukul 6 petang dan tidak mempunyai lesen menjual arak tertentu
Kesemua tahanan dan barangan dirampas dibawa ke Balai Polis Sungai Way di sini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Selangor 1995, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen serta Seksyen 35 Akta Kastam 1967 – K! ONLINE










