AMPANG – Polis menahan seramai 23 individu warganegara China termasuk dua wanita yang terlibat dalam sindiket judi online di dua buah banglo mewah di Taman Melawati di sini hari ini.
Serbuan dua premis banglo tiga tingkat yang menjadi pusat pengurusan sindiket judi online itu dilakukan oleh Bahagian Pencegahan Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman dan Selangor.
Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, sindiket tersebut mula beroperasi sejak dua bulan lalu.
“Kesemua tangkapan bertindak sebagai pengurus kepada laman web judi online dengan mempromosikan permainan itu kepada pelanggan di negara China.
“Mereka menjalankan promosi melalui laman media sosial dan dibayar gaji sebanyak RM3000 sebulan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas operasi judi online di Taman Melawati di sini hari ini.
Mohd. Khaizam menambah, berdasarkan pemeriksaan awal pada pasport kesemua, didapati mereka telah tinggal lebih masa di negara ini.
“Mereka hanya perlu bekerja di hadapan komputer sahaja dan segala keperluan lain seperti makanan dibekalkan.
“Polis turut merampas sebanyak 10 unit komputer riba dan 10 unit komputer serta 85 unit telefon bimbit,” ujarnya.
Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – K! ONLINE










