Polis cari lelaki Pakistan kes tikam wanita - Utusan Malaysia

Polis cari lelaki Pakistan kes tikam wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 22 Jan. – Polis mencari seorang lelaki warganegara Pakistan bagi membantu siasatan kes seorang wanita berusia 31 tahun maut dalam satu pergaduhan di hadapan sebuah kedai runcit di Taman Permai 3, di sini pada 19 Januari lalu.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, polis percaya lelaki itu, Mohd. Javaid Arshad Abdul Ghani, 64, dapat membantu siasatan kes itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Saksi utama kes ini telah dikenal pasti dan dikehendaki tampil untuk membantu siasatan. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pada 19 Januari lalu, seorang peniaga restoran maut ditikam oleh seorang peniaga kedai runcit dalam pergaduhan di Jalan Kerapu 23, Taman Permai 3 dekat sini kira-kira pukul 1.30 pagi.

Mangsa, D. Shaleni yang cedera ditikam pisau pemotong sayur di bahagian perut disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) pada pukul 2.15 petang.

Hock Poh berkata, siasatan polis mendapati sebelum kejadian itu, wanita berkenaan bersama suaminya berusia 49 tahun memarahi anak lelaki Pakisan tersebut kerana bermain lampu laser hingga terkena mata abang suami wanita itu berusia 60 tahun.

Menurutnya, anak lelaki warga asing itu kemudian membuat laporan polis selepas dimarahi dan perselisihan faham tercetus apabila suami wanita itu berjumpa dengan isteri lelaki warga Pakistan untuk bertanyakan tentang laporan polis yang dibuat.

Katanya, pergelutan telah berlaku antara mereka menyebabkan wanita berusia 31 tahun itu mengalami kecederaan di perut dan leher sebelum disahkan meninggal dunia di HTJ.

Dalam pada itu, tambahnya, polis sedang menahan reman seorang wanita berusia 38 tahun selama empat hari dan seorang lelaki warga Pakistan berusia 44 tahun selama enam hari bagi membantu siasatan kes itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN