LEXINGTON, Kentucky – Kena dengan klise cinta polis kepada donut, sekumpulan anggota polis Lexington mengambil gambar mereka bersedih selepas sebuah lori membawa pastri lazat itu terbakar di tengah jalan di sini pada 31 Disember lalu.
“Satu tragedi kecil telah berlaku pada Isnin lalu (31 Disember 2018) berhampiran jalan Pink Pigeon Parkway dan Man o’ War Boulevard. Tiada perkataan untuk menggambarkannya,” komen jabatan polis itu melalui Twitter berserta emosi ‘sedih’.
Beberapa keping gambar dikongsi menunjukkan anggota polis ‘sangat sedih’ melihat lori Krispy Kreme itu tebakar malah mendapati banyak donut gagal diselamatkan.
Paparan anggota polis itu menjadi tular dalam media sosial dengan kata-kata semangat mencurah dari seluruh dunia supaya mereka bertabah dengan cabaran tersebut.
Ini termasuk ucapan daripada jabatan polis di Ohio, Indiana; bandar raya New York dan polis di Britain yang ‘memahami kesakitan yang dirasai’ polis Lexington. – Agensi









