MANCHESTER 22 Jan. – Bintang tengah Manchester United, Paul Pogba mahu memulakan rundingan mengenai penyambungan kontraknya kerana gembira di bawah pengurusan Ole Gunnar Solskjaer.
Perancang utama Perancis itu sebelum ini menyuarakan hasrat meninggalkan Old Trafford pada hujung musim ini selepas tidak gembira dengan bekas pengurus, Jose Mourinho.
Pogba, 25, memberi tekanan kepada Red Devils untuk menjualnya kepada Barcelona sebelum Naib Pengerusi United, Ed Woodward terpaksa mengeluarkan kenyataan dia tidak akan dijual.
Bagaimanapun di bawah bimbingan Solskjaer, yang mengambil alih tugas Mourinho pada 17 Disember lalu, Pogba kembali menunjukkan prestasi sebenar dan bersedia untuk membalas budi kelab.
Menurut akhbar Britain, The Sun, pemain itu masih memiliki kontrak dua tahun setengah bersama United tetapi mempunyai pilihan untuk menyambung kontrak 12 bulan lagi.
Jika perjanjian baharu dicapai, Pogba dijangka menikmati kenaikan gaji yang membolehkannya menghampiri penerima gaji termahal kelab, Alexis Sanchez.
Biarpun jarang diturunkan akibat kecederaan, Sanchez menerima gaji 350,000 pound (RM1.86 juta) seminggu, manakala Pogba 290,000 pound (RM1.54 juta) seminggu. – AGENSI










