PKR Perak hiba peletakan jawatan Sultan Muhammad V - Utusan Malaysia

PKR Perak hiba peletakan jawatan Sultan Muhammad V

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 7 Jan. – PKR Perak menzahir rasa sedih dan hiba di atas peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa semalam.

Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, Sultan Muhammad V terkenal dengan sifat mesra rakyat dan raja berjiwa rakyat.


Menurutnya, baginda merupakan seorang yang peramah, tidak mementingkan kebesaran dan tidak pernah membezakan diri dengan rakyat jelata.


“Patik sekalian seluruh rakyat Malaysia merasa sungguh hiba dan sedih di atas keputusan tuanku untuk meletakkan jawatan sebelum tempoh yang sepatutnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Menurutnya, kebelakangan ini institusi raja yang sepatutnya dihormati berhadapan dengan cabaran. 


Beliau berkata, wujud pihak dan individu tertentu yang cuba mewujudkan persepsi negatif mengenai institusi diraja yang disebarkan melalui media sosial.


Katanya, namun baginda tidak pernah menyuarakan kemurkaan kepada rakyat Malaysia. 


“Patik sekalian akan sentiasa mengingati titah baginda ketika sesi pembukaan Dewan Rakyat di mana semua Ahli Parlimen diminta ‘duduk dan jangan lari’ sebagai gurauan bagi meredakan situasi yang tegang selepas PRU Ke-14,” katanya.


Menurutnya, rakyat menjunjung kasih baginda di atas keputusan untuk mempercepatkan proses pengampunan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan membebaskan beliau serta merta di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan selepas PRU-14.


Katanya, inilah sifat baginda yang harus diteladani semua pemimpin supaya tidak melengahkan sesuatu yang baik hanya kerana secara zahir ia boleh wujud fitnah.


“Institusi raja berperlembagaan harus dihormati termasuklah segala keputusan Tuanku untuk tidak menghebah-hebahkan perkahwinan baru-baru ini 
dikhalayak ramai. 


“Sesungguhnya perkahwinan itu adalah jodoh dan rahsia ketentuan Allah, maka siapalah patik sekalian untuk mempertikaikan jodoh Tuanku. Patik sekalian mendoakan perkahwinan ini bahagia hingga ke anak cucu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN