PUTRAJAYA – Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih belum menerima sebarang notis daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung dakwaan penggantungan parti itu selepas berlaku penipuan dalam pemilihan parti baru-baru ini.
Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, setakat ini, beliau tidak mendapat sebarang makluman mengenai perkara tersebut.
Jelasnya, sebarang aduan mengenai perkara itu perlu dilakukan mengikut prosedur, saluran dan proses yang betul sekiranya berlaku kes tersebut.
“Saya tidak membaca sebarang artikel mengenai perkara itu. Sekiranya ada dakwaan, Setiausaha Agung parti akan menjawabnya.
“Setakat ini, saya belum dapat maklumat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Promosi Tempat Makan Sebagai Tempat Dilarang Merokok dan Majlis Pelancaran Program Restart (Restoran Tanpa Asap Rokok dan Tembakau) di Presint 9 di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan timbalannya, Dr. Lee Boon Chye.
Terdahulu, media tempatan melaporkan Azman Noor Adam yang juga adik kepada Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menerusi akaun Facebook mendakwa RoS bakal menggantung PKR selepas berlaku penipuan dalam pemilihan partinya baru-baru ini.
Menurut laporan itu, Azman mendakwa RoS bakal menggantung pendaftaran PKR kerana pemilihan parti itu dipercayai penuh dengan kekecohan dan penipuan.
Azman mendakwa menerima maklumat dari sumber dalaman berkata, dengan penggantungan parti itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi lemah dan sekaligus membantutkan peluangnya untuk menjadi Perdana Menteri. – K! ONLINE










