PKNP sasar kelompok lima teratas - Utusan Malaysia

PKNP sasar kelompok lima teratas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT 31 Jan. – Pasukan PKNP FC menyasarkan kelompok lima teratas dalam saingan Liga Super musim ini selain mahu layak sekurang-kurangnya ke separuh akhir Piala Malaysia dan Piala FA.

Presiden PKNP FC, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, sasaran itu realistik setelah PKNP FC menamatkan saingan liga musim lalu di tangga kesembilan.

Menurutnya, kejayaan pasukan itu layak sehingga ke separuh akhir Piala FA musim lalu memberi semangat untuk pasukan itu memperbaiki pencapaian musim lalu.

“Untuk skuad musim ini, kita telah mendaftarkan 25 pemain termasuk empat pemain import walaupun ada lima kuota pemain import.

“Saya yakin keempat-empat pemain import itu dapat diturunkan dalam perlawanan menentang Kedah pada Sabtu ini di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis pelancaran jersi pasukan dan pengenalan pemain di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) di sini semalam.

Skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim mendapatkan khidmat Thomas Abbey dari Ghana, Siyavush Asrorov dari Tajikistan, Yashir Islame Pinto dari Palestin dan Kalidou Coulibaly Yero dari Segenal.

Mengenai ketiadaan penjaring terbanyak pasukan itu, Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi yang menyertai Perak secara pinjaman, Zainol Fadzi berkata, ia bukan satu kehilangan kepada pasukan.

“Sebaliknya ia merupakan satu sumbangan kepada pasukan Perak,” katanya.

Mengenai Stadium PM Manjung yang menjadi gelanggang rasmi tuan rumah musim ini, Zainol berharap para penyokong dapat memberikan sokongan yang konsisten kepada PKNP.

“Musim lalu, Stadium Batu Kawan menjadi gelanggang rasmi kami sebagai tuan rumah. Beraksi di sana PKNP tidak mempunyai penyokong jadi saya berharap keadaan itu berubah apabila PKNP bermain di Manjung,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×