LIPIS 24 Jan. – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan mengamalkan diskriminasi atau mengabaikan kerajaan negeri yang ditadbir Barisan Nasional (BN) dalam pelbagai aspek termasuk program pembangunan rumah mampu milik.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, setiap kerajaan negeri perlu memberikan tanah di lokasi yang bersesuaian dan strategik seperti terdapat pembangunan serta sistem pengangkutan yang baik.
“Kerajaan Pusat sekarang bukan macam BN (Barisan Nasional) dahulu. Kita tidak akan potong peruntukan yang seharusnya diberi kepada mereka.
“Malah di bawah kementerian saya, peruntukan disalurkan terus kepada pihak berkuasa tempatan (PBT). Kalau dahulu BN ada mekanisme lain, kalau negeri pembangkang mereka turunkan duit kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) melalui orang BN, ini perbezaannya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Pertandingan Masakan Tradisional di Kampung Sungai Koyan 3, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











