PH mampu beri lebih pembangunan di Cameron Highlands - Utusan Malaysia

PH mampu beri lebih pembangunan di Cameron Highlands

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Pakatan Harapan (PH) yakin mampu membangunkan Cameron Highlands lebih daripada pusat pelancongan sekiranya calon parti itu memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK)  kerusi P.078, Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari ini.

Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PH mempunyai kapasiti dan sumber dalam usaha untuk lebih membangunkan Cameron Highlands berbanding apa yang sedia ada pada hari ini.

Jelasnya, beliau juga tahu masalah dan isu di pusat pelancongan tersebut dan yakin PH mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang lebih baik berbanding Barisan Nasional (BN).

“Cameron Highlands merupakan produk pelancongan namun, ada banyak perkara yang boleh ditawarkan kepada pelancong. Jadi, saya rasa lebih banyak lagi kita (PH) boleh lakukan di situ.

“Jika calon kita menang dalam PRK itu, sudah pasti beliau akan terus mempromosi Cameron Highlands malah menjadi lebih baik daripada produk pelancongan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2019 di Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Fauzi Harun.

PRK Cameron Highlands menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon BN, Ramli Mohd. Nor, calon PH yang juga bekas calon Parlimen itu pada pilihan raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, M. Manogaran serta dua calon bebas iaitu Sallehudin Ab. Talib dan Wong Seng Yee.

Saingan calon dalam PRK itu dilihat berkurangan setelah bekas Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas mengumumkan untuk menarik diri daripada bertanding di parlimen tersebut dan menyatakan sokongan kepada PH.

Sementara itu, menurut Muhyiddin, beliau mengakui perlu mengharungi cabaran yang sengit untuk merampas kerusi parlimen itu daripada BN.

“Ia merupakan cabaran buat kami kerana kita bukan sahaja memerlukan sokongan daripada Orang Asli namun, undi daripada orang Melayu, Cina dan India di kawasan itu juga diperlukan.

“Jadi, saya percaya jentera parti sudah turun ke padang untuk menjelaskan mengenai pelbagai perkara bukan hanya mengenai isu di Cameron Highlands malah ia turut melibatkan isu pekerjaan dan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang perlu diselesaikan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN