PENGUMUMAN terbaharu melibatkan penurunan harga petrol ternyata menggembirakan rakyat lebih-lebih lagi kepada ibu bapa yang telah berbelanja besar menguruskan perbelanjaan anak-anak menghadapi musim persekolahan sebelum ini.
Penurunan harga sebanyak 27 sen bagi RON97 dan RON95 kepada RM2.23 dan RM1.93 seliter bagi tempoh seminggu bermula tengah malam ini sehingga 11 Januari hadapan sememangnya melegakan rakyat.
Angka 27 sen itu jelas cukup besar apatah lagi rakyat dikatakan ‘dipaksa’ membayar harga lebih dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini apabila harga minyak dunia telah menunjukkan penurunan.
Namun, di sebalik kegembiraan ini, ada sesuatu yang lebih menggusarkan rakyat iaitu melibatkan harga barangan. Penantian untuk melihat harga barang turun sebenarnya lebih menyeksakan.
Apa tidaknya, jika harga petrol dan diesel diumumkan naik, kebiasaannya selepas itu ada saja harga barangan pun turut ikut naik. Umpama irama dan lagu, memang tidak boleh dipisahkan!
Malah, ada kalanya peningkatan harga barang itu sehingga tahap tidak masuk akal. Petrol hanya naik 20 sen, tapi harga barang terutama keperluan asas naik berlipat kali ganda.
Tetapi, apabila harga bahan api diturunkan, tiada pula usaha menurunkan harga barang. Tiada pula kedengaran pengguna mula meluahkan rasa senang hati kerana harga barang mulai turun. Harga barang tetap begitu juga, lebih teruk ada yang terus meningkat.
Ketika inilah pelbagai alasan diberikan peniaga. Semasa harga petrol naik, katanya disebabkan kos pengangkutan dan sebagainya. Namun begitu, apabila harga minyak kembali turun, diam seribu bahasa pula.
Kalau diikutkan logik akal, jika alasan kos pengangkutan diberi dan terpaksa menaikkan harga barang, maka apabila harga petrol kembali turun, kos berkenaan juga sepatutnya turun. Yang pasti, perkara itu jarang-jarang berlaku.
Di sinilah harapan rakyat disandarkan kepada kerajaan. Pemantauan harga barang perlu sentiasa dilakukan, hukum saja peniaga yang mengambil kesempatan. Jangan sampai peningkatan harga barang menaikkan pula kemarahan pengguna.
Keluhan rakyat marhaen semakin lama semakin menebal. Semuanya perlukan perhatian sewajarnya, malah kolum Rintihan Rakyat dalam Utusan Malaysia membuktikannya. Usah duduk diam sahaja kerajaan, bertindaklah. – UTUSAN ONLINE










