KUALA TERENGGANU 9 Jan. – Khabar gembira buat golongan belia apabila mereka berpeluang memohon mendapatkan lesen motosikal percuma di bawah program Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) 2019 yang akan dibuka mulai 1 Februari hingga 1 Mac depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, mereka yang berusia 16 hingga 40 tahun serta layak boleh membuat permohonan secara dalam talian dengan serahan borang di mana-mana pejabat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN), Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MITS) atau Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di kawasan masing-masing
Katanya, seramai 25,000 golongan muda di negeri ini disasarkan menikmati manfaat mendapatkan lesen motosikal yang terkandung dalam manifesto Pas negeri dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
“Permohonan pada tahun ini hanya terhad kepada 25,000 orang dengan agihan jumlah peserta yang berbeza-beza di setiap daerah misalnya di Kuala Terengganu seramai 4,800 orang manakala yang paling sedikit adalah di Setiu iaitu seramai 2,000 orang.
“Peserta yang terpilih akan dimaklumkan pada 1 hingga 10 April depan dengan pemberian baucar dibuat pada 15 April,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web http://idana.terengganu.gov.my. – UTUSAN ONLINE










