KOTA BHARU 3 Jan. – Kajian mendalam mengenai cadangan perintah berkurung ke atas remaja di negeri ini sedang dilakukan sebelum pelaksanaannya diputuskan.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, kajian tersebut diterajui beberapa pihak termasuklah Pusat Kajian Strategik Kelantan dan turut melibatkan konsultan bebas.
Beliau berkata, usaha yang dibuat untuk menangani masalah gejala sosial terutama dalam

kalangan golongan muda itu diteliti daripada pelbagai aspek seperti faktor remaja lebih suka berada di luar berbanding rumah sendiri.
“Kita kena kaji punca mereka keluar, mungkin disebabkan ada warung dan kedai yang dibuka hingga lewat malam, kita mungkin kena fikirkan kedai mana yang boleh dibenarkan berniaga misalnya hingga pukul 12 tengah malam atau 3 pagi sahaja.
“Kita tahu sesetengah remaja tidak suka berada di rumah kerana kurang mesra dengan keluarga atau tiada kasih sayang, perkara ini juga perlu ditangani melalui penekanan kepada ketua keluarga supaya lebih berperanan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ucapan Amanat Tahun Baharu 2019 di Dewan Jamuan Utama, Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Pada awal November tahun lalu, kerajaan negeri semasa penggulungan perbahasan Belanjawan 2019 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan mengumumkan akan mengkaji pelaksanaan perintah berkurung ke atas remaja pada waktu malam bagi mengatasi masalah gejala sosial di negeri ini.
Ketika itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Mumtaz Md. Nawi dilaporkan berkata, sekurang-kurangnya tujuh buah negara di dunia sudah menjadikan perintah berkurung ke atas remaja dan kanak-kanak sebahagian daripada peruntukan undang-undang.
Sementara itu, Ahmad berkata, sebarang pelaksanaan dan pengesyoran daripada hasil kajian walau bagaimanapun hanya akan dibuat selepas tempoh mencukupi agar semua pihak bersedia.
“Kita akan bagi tahu awal, contohnya dua tahun lagi kita mahu hadkan operasi warung-warung yang berniaga lewat malam.
“Kalau kedai seperti 7 Eleven mungkin tiada tempat lepak tetapi yang menimbulkan masalah adalah tempat yang mempunyai kawasan lepak yang menjadi tumpuan remaja,” katanya.










