Perincikan segala aset dipindahkan - Utusan Malaysia

Perincikan segala aset dipindahkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Jan. – Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) perlu memperincikan segala aset yang dipindahkan kepada syarikat tujuan khas (SPV) supaya semua pendeposit mengetahui dengan jelas mengenai kedudukan pelaburan institusi tersebut.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, pihaknya berharap urus tadbir korporat Tabung Haji berada di landasan yang betul khususnya dalam pelan pemulihan kedudukan kewangan institusi tersebut.


“Beberapa perkara perlu diperincikan termasuk mendedahkan butiran nilai keseluruhan aset yang dipindahkan kepada SPV.

“Dalam masa sama, Pas ingin mengetahui sama ada fungsi Tabung Haji akan diurusakan sebagai sebuah bank selepas diletakkan di bawah Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Jelas Nasrudin, perkara itu dibangkitkan kerana timbul persoalan akta mana yang akan diguna pakai dalam menguruskan Tabung Haji kerana institusi tersebut tertakluk di bawah Akta Tabung Haji 1995.


“Di bawah seliaan BNM, akta mana yang akan diguna pakai, adakah Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 kerana fokus seliaan itu merangkumi polisi pelaburan dan penentuan strategi pengagihan aset strategik,” katanya. 


Pada 11 Disember lalu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Zukri Samat berkata, Tabung Haji akan memindahkan aset tidak menguntungkan bernilai RM19.9 bilion kepada SPV yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan pada 31 Disember.


Aset tidak menguntungkan yang dipindahkan itu merangkumi hartanah dan ekuiti bertujuan menstabilkan imbangan tunai dan mempercepatkan pemulihan kewangan kumpulan. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN