LONDON 31 Jan. – Bournemouth merantai pergerakan pemain tengah Chelsea, Jorginho ketika mereka menundukkan skuad kendalian Maurizio Sarri 4-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi, kata Joshua King.
King yang meledak dua gol pada separuh masa kedua selain dua jaringan menerusia David Brooks dan Charlie Daniels memastikan tuan rumah meraih tiga mata penuh dalam aksi di Stadium Vitality.
King memberitahu, pasukan itu menggunakan Brooks untuk mengekang pergerakan perancang Chelsea bagi menguasai permainan.
“Kami tahu kami perlu singkirkan Jorginho daripada perlawanan ini.
“Brooksy memainkan peranan cemerlang dan Junior (Stanislas) selepas Brooks dikeluarkan.
“20 minit pertama perlawanan, kami tidak begitu baik. Pengurus mengingatkan kami untuk bermain dengan lebih baik.
“Saya rasa dia (Jorginho) tidak banyak menyentuh bola dan saya tidak fikir dia gembira bermain hari ini. Perancangan pengurus kami sangat baik dan kami berjaya melaksanakannya,” kata King.- AGENSI











