PARIS 17 Jan.- Pengendali Monaco, Thierry Henry meneruskan deretan tanpa kemenangan dalam Ligue 1 kepada empat perlawanan selepas seri 1-1 menentang Nice yang dibimbing Patrick Vieira.
Kedua-dua bekas bintang Arsenal itu tampil sebagai ‘musuh’ di tepi padang dan boleh dikatakan taktikal mereka sama hebat.
Bekas pemain Perancis, Henry dan Vieira beraksi bersama dalam 313 perlawanan di Arsenal ketika di bawah bekas pengendali kelab tersebut, Arsene Wenger dan bersama Les Bleus tetapi setiakawan mereka diketepikan sementara dalam usaha Monaco memburu kemenangan liga pertama sejak 4 Disember.
Keputusan itu mengekalkan Monaco di tangga kedua tercorot dengan 15 mata daripada 20 perlawanan manakala Nice yang bermain 10 orang di babak kedua berikutan kad merah Ihsan Sacko, kekal di tangga keenam dengan 30 mata.
“Ia terasa pelik, kami bermain bersama untuk tempoh lama dan kami keluar dari bilik persalinan bersama-sama. Kami sempat bercakap tetapi masing-masing fokus kepada permainan,” kata Henry.
Anak buah Henry berada dalam zon penyingkiran Ligue 1 dengan tiga mata di bawah garis selamat selepas gagal merakam sebarang kemenangan musim ini. – REUTERS










