PENDANG – Seorang penoreh getah maut selepas kereta dipandunya terbabas lalu merempuh dinding sebuah rumah yang terletak di tepi Jalan Gajah Mati di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.55 petang itu, mangsa, Mohd. Fisol Ayub, 43, yang dipercayai mempunyai penyakit sawan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Pendang selepas tidak sedarkan diri sejurus selepas kemalangan.
Mangsa yang mengalami kecederaan pada kepala, kaki dan tangan bagaimanapun meninggal dunia kira-kira pukul 6 petang hari sama dan dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dekat sini untuk dibedah siasat.
Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang datang dari arah Jalan Charok Kudung ke Kampung Sawa Kechil keluar secara mengejut daripada simpang empat dan terus menghala ke sebuah rumah terletak di tepi jalan.
“Kereta jenis Proton Waja itu kemudian merempuh bahagian sudut rumah tersebut dan mangsa yang tidak sedarkan diri terus dibawa ke Klinik Kesihatan Pendang oleh orang awam.
“Kita kemudian menerima makluman daripada pihak klinik kira-kira pukul enam petang semalam (kelmarin) bahawa mangsa telah meninggal dunia dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat kecederaan pada dada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata beliau, dalam kejadian itu, penghuni rumah tersebut terdiri daripada seorang wanita berusia 33 tahun serta dua anaknya berusia dua dan dan empat tahun mengalami lebam pada badan akibat terkena serpihan konkrit akibat kemalangan itu.
“Ketika kejadian, mereka sedang menonton televisyen sebelum terkena serpihan konkrit dinding rumah yang pecah akibat kemalangan,” ujarnya. – K! ONLINE











