Penolong pegawai kesihatan didenda RM75,000, jel tiga bulan - Utusan Malaysia

Penolong pegawai kesihatan didenda RM75,000, jel tiga bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Seorang penolong pegawai kesihatan persekitaran didenda RM75,000 dan penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 21 pertuduhan salah guna kuasa melantik iparnya untuk membekalkan perkhidmatan dan bekalan melibatkan jumlah RM49,155 antara 2016 hingga tahun lalu.

Hakim Kamarudin Kamsun menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd. Razali Mat Akhir, 40, yang bertugas di Pejabat Kesihatan Segamat mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan kedudukannya melantik kakak dan abang iparnya untuk beberapa perolehan, perkhidmatan dan bekalan melibatkan program dianjurkan pejabat kesihatan di sekitar daerah Segamat membabitkan jumlah keseluruhan RM49,155.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Kesihatan Daerah Segamat antara 23 Jun 2016 hingga 8 November 2017.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN