Pengurus ladang, pekerja ditahan bawa diesel tanpa kebenaran - Utusan Malaysia

Pengurus ladang, pekerja ditahan bawa diesel tanpa kebenaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Seorang pengurus ladang dan pekerjanya ditahan selepas disyaki membawa 20 tong plastik berisi 400 liter minyak diesel tanpa kebenaran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Changlun dekat sini semalam.

Dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an hingga 40-an itu ditahan di sebuah stesen minyak di kawasan tersebut kira-kira pukul 6 petang.

Ketua Cawangan KPDNHEP Kubang Pasu, Mohamad Amir Abdullah berkata, pemeriksaan yang dilakukan ke atas lori tiga tan dinaiki dua suspek terbabit menemui 20 tong plastik mengandungi 400 liter diesel.

“Siasatan awal mendapati suspek tidak memiliki dokumen kebenaran atau permit untuk menyimpan dan menggunakan barang kawalan tersebut daripada pegawai bekalan KPDNHEP,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, bekalan diesel tersebut dikatakan untuk kegunaan pertanian.

“Nilai sitaan lori adalah kira-kira RM10,000 manakala diesel RM820,” ujarnya.

Tambahnya, pemilik stesen minyak berkenaan juga akan dikenakan tindakan kerana gagal mematuhi arahan pegawai bekalan.

“Siasatan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN