Penglibatan koperasi dalam Ar Rahnu semakin berkembang - Utusan Malaysia

Penglibatan koperasi dalam Ar Rahnu semakin berkembang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Jan. – Bagi membantu golongan yang terkesan akibat masalah ekonomi, beberapa organisasi seperti bank dan koperasi memperkenalkan produk kewangan patuh syariah bagi memastikan umat Islam mempunyai alternatif selain produk kewangan konvensional.

Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan) Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKM) Wilayah Persekutuan, Zuhaini Romli berkata, perkembangan pesat produk Ar Rahnu di negara ini khususnya di Wilayah Persekutuan membuka ruang kepada umat Islam untuk menggunakan instrumen perniagaan patuh syariah dalam kehidupan seharian mereka.

“Sebelum Koperasi Pelaburan Kakitangan Bank Muamalat Malaysia Berhad (Koputra), kita menyaksikan produk Ar Rahnu diurusniagakan oleh Bank Rakyat dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim).

“Cuma kali ini produk Ar Rahnu diurusniaga oleh Koputra dengan kerjasama syarikat Muhaimin Jewels Gold & Gems Sdn. Bhd. dengan menggunakan model mereka tersendiri untuk menambah pendapatan koperasi,” katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.

Zuhaini menambah, pihaknya akan terus memberi galakan serta nasihat kepada mana-mana pihak untuk meneroka bidang kewangan Islam seperti Ar Rahnu dari semasa ke semasa.

Sementara itu Pengerusi Koputra, Zaharuddin Alias berkata, menyedari hakikat umat Islam yang inginkan produk patuh syariah, pihaknya komited untuk membantu masyarakat bagi mendapat bantuan kewangan menerusi pajak gadai Islam Ar Rahnu yang merupakan produk terbaru pihaknya.

“Pihak Koputra dan Muhaimin Jewels Gold & Gems Sdn. Bhd. bekerjasama untuk menjadikan urusniaga pajak gadai Ar Rahnu sebagai satu cara membantu umat Islam di kawasan Lembah Klang untuk mendapat wang dengan segera.

“Kita menyedari keperluan umat Islam untuk berurusan dengan menggunakan produk yang halal dan bebas riba,” katanya.

Beliau memberitahu, pihaknya berharap produk tanpa unsur riba tersebut mendapat sambutan daripada umat Islam sejak ia dilancarkan 1 November tahun lalu.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Muhaimin Jewels & Gems Sdn. Bhd., Amin Abu Muhammad, kerjasama antara kedua-dua pihak bukan setakat menjayakan produk Ar Rahnu malahan mencakupi aspek pemasaran barang kemas.

“Pihak kami turut membuka bilik pameran barang kemas di pejabat Koputra bagi mengembangkan kerjasama antara kedua-dua pihak,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN