Kejadian sebuah kereta jenis kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX5 yang terhumban ke laut setelah terlibat dalam kemalangan ngeri melibatkan dua buah kenderaan ternyata menarik perhatian umum termasuk warganet memandangkan kejadian itu boleh dikatakan amat jarang berlaku.

Berdasarkan laporan, kejadian kenderaan terhumban ke laut awal pagi Ahad itu adalah insiden kelima berlaku di jambatan berkenaan dalam tempoh 2010 sehingga kini.
Sudah pastinya, agensi penyelamat yang terlibat iaitu Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), pasukan Polis Marin serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bertungkus lumus sejak tiga hari lalu dan berdepan dengan pelbagai cabaran untuk mengeluarkan kenderaan berkenaan.
Bagaimanapun, seperti kebiasaannya apabila berlaku kejadian-kejadian seperti ini sudah pasti terselit seorang dua warganet yang bersikap biadab dengan mengeji dan mengeluarkan cacian terhadap para anggota penyelamat yang bertungkus lumus dalam misi mencari dan menyelamat itu.
Terbaharu seorang, pengguna Facebook, Chuah Chun Howe, dikesan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota penyelamat yang bersabung nyawa dalam misi berkenaan.
Chun Howe menganggap pasukan penyelamat hanya makan dan tidur sahaja sehingga gagal mengesan lokasi kenderaan tersebut.
Difahamkan, Chun Howe telah bertindak menyahaktif akaun
Facebooknya selepas warganet yang lain mengecam tindakan biadapnya itu.
Komen biadap Chun Howe itu turut mendatangkan kemarahan Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Pulau Pinang, Azdy Mohd. Arshad yang berjaya menyimpan tangkap layar komen tersebut.
Kebiadaban pengguna media sosial seperti Chun Howe bukan kejadian pertama berlaku di negara ini memandangkan tindakan yang sama pernah dilakukan pengguna media sosial dalam pelbagai isu termasuk berani mengeluarkan komen menghina terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.
Walaupun Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh digunakan terhadap pengguna media sosial kerana menyalahgunakan kemudahan komunikasi untuk sebaran maklumat jelik dan menghina namun ia seolah-olah tidak mendatangkan kegerunan dalam kalangan warganet untuk menjaga adab di media sosial.
Semakin lama, kebiadaban warganet di media sosial semakin menjadi-jadi dan dikhuatiri akibat daripada kelakuan jelik yang tidak dibendung sejak awal itu akan berlaku perkara yang boleh menjejaskan keharmonian negara.
Kebiadaban demi kebiadaban yang dilakukan warganet menerusi akaun media sosial masing-masing tidak boleh dimaafkan begitu sahaja.
Sudah sampai masanya kerajaan memikirkan mengenai keperluan untuk menggubal satu akta khusus untuk ‘mengajar’ warganet agar lebih beradab di alam maya.
Permohonan maaf sahaja tidak memadai untuk mendidik warganet yang semakin bersikap kurang ajar dan hilang nilai-nilai ketimuran apabila berada di alam maya.










