Pengerusi masjid kecewa telefon bimbit RM21,000 belum dipulangkan - Utusan Malaysia

Pengerusi masjid kecewa telefon bimbit RM21,000 belum dipulangkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 15 Jan. – Pengerusi Masjid Ibnu Khaldun, Taman Lavender Heights di sini, Mohd. Asna Amin yang disiasat berhubung kematian beberapa ekor anjing akibat diracun baru-baru ini, kecewa kerana telefon bimbitnya masih belum dipulangkan pihak berkuasa.

Menurut ahli perniagaan tersebut, telefon bimbit berharga RM21,000 itu masih dalam simpanan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) yang kini menyiasat kes berkenaan.

Katanya, telefon yang dirampas polis semasa siasatan kes pada 9 Januari lalu, penting kerana mengandungi banyak maklumat peribadi, gambar keluarga selain urusan perbankan elektronik dilakukannya menerusi peralatan itu.

“Melalui telefon itu saya mengesahkan pembayaran gaji kepada lebih 300 pekerja. Begitu juga e-mel berkaitan syarikat, pembayaran bank secara atas talian dan lain-lain urusan,” katanya, di sini hari ini.

Mohd. Asna disiasat selepas seorang penduduk membuat laporan polis berhubung penemuan bangkai tiga ekor anjing yang dipercayai mati selepas diberi makanan mengandungi racun awal bulan ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Noor Azam Jamaluddin, Jumaat lalu memaklumkan polis telah menghentikan siasatan dan kes tersebut kini disiasat oleh JPVNS.

Mengulas lanjut, Mohd. Asna berkata, dalam sesi dialog antara penduduk Taman Lavender Heights dengan pihak berkuasa baru-baru ini, Pengarah JPVNS, Dr. Nik Hamidah Nik Husin berjanji memulangkan telefon dalam tempoh sehari atau dua hari.

“Polis sudah menghentikan siasatan, kenapa telefon bimbit saya belum dipulangkan. Setahu saya hanya polis berhak merampas bukannya jabatan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Nik Hamidah ketika dihubungi enggan mengulas lanjut dan memaklumkan kes itu masih dalam siasatan pihaknya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×