ALOR SETAR – Perbuatan jahat seorang penganggur menolak seorang wanita warga emas sehingga terjatuh ke dalam sungai sebelum melarikan motosikal mangsa di Pendang dekat sini hujung tahun lalu berbalas apabila dia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh, Muhammad Shafiq Abdul Rahman, 21, berdepan dengan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan menyamun motosikal mangsa, Kim Din Chan, 61.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di kawasan tepi sungai, Kampung Paya Lipai, Sungai Tiang, Pendang kira-kira pukul 3 petang, 25 Disember lalu.
Pendakwaan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan itu dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Rehab Abdul Shukur sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim Juraidah Abbas menetapkan 22 Januari ini untuk menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh.
Media sebelum ini melaporkan seorang wanita berketurunan Siam yang sedang memancing di tepi sungai di Kampung Paya Lipai, Sungai Tiang, Pendang tergamam apabila ditolak lelaki tidak dikenali sehingga terjatuh ke dalam sungai sebelum suspek melarikan motosikal Yamaha 135LC miliknya pada 25 Disember lalu.
Mangsa yang terjatuh ke dalam sungai bagaimanapun terselamat dan hanya mengalami lebam pada tangan. – K! ONLINE










