YAN – Seorang penganggur berdepan dengan hukuman mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh dua beradik di Kampung Tengah, Kuala Sungai di sini pada 8 Januari lalu.
Tertuduh, Amir Ariffin, 49, mengangguk faham sebaik pertuduhan membunuh Nurul Hanim Idris, 5 dan adiknya, Muhammad Hafiz, 2, dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd. Akit.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Mengikut kertas pertuduhan, Amir yang memakai baju-T warna jingga dituduh membunuh Nurul Hanim di rumah Nombor 11, Kampung Tengah, Kuala Sungai antara pukul 11 malam hingga 12 tengah malam, 8 Januari lalu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa membunuh Muhammad Hafiz di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Pendakwaan bagi dua pertuduhan tersebut dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding sama, Amir turut berhadapan dengan satu lagi pertuduhan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas bapa saudara kepada dua beradik tersebut, Soberi Saad, 52, dengan menggunakan sebilah pedang juga di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan tersebut dibacakan terhadapnya.
Pendakwaan bagi pertuduhan berkenaan dilakukan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan denda atau sebat.
Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan tertuduh menghadapi pertuduhan bunuh sebelum menetapkan 18 Mac depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Waheda Abd. Rahman sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Kosmo! Online pada 9 Januari lalu melaporkan dua beradik, Nurul Hanim, 5, dan Muhammad Hafiz, 2, maut akibat ditetak dan dikelar oleh seorang lelaki ketika sedang tidur di Kampung Tengah, Kuala Sungai kira-kira pukul 11.45 malam. – K! ONLINE










