PADANG BESAR 14 Jan. – Ibu bapa disaran menggalakkan anak-anak menyertai Pertubuhan Pengakap khususnya di sekolah-sekolah.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ini adalah kerana pengakap mampu membimbing anak-anak untuk membina sistem nilai berasaskan prinsip-prinsip kerohanian, sosial dan keperibadian seperti yang ternyata dalam Persetiaan dan Undang-undang Pengakap.
“Penglibatan berterusan dalam pendidikan tidak formal seperti Pengakap ini juga mampu menjadikan setiap individu sebagai agen utama pembangunan diri yang dapat lebih berdikari, bertanggungjawab, berdisiplin dan komited.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra selepas berkenan berangkat menyertai program amal ‘Sekali Berpengakap, Selamanya Berpengakap” yang disekalikan dengan majlis pelancaran ‘Op Sifar Cicir 2019’ peringkat SMK Beseri, SK Beseri dan SK Guar Jentik baru-baru ini.
Program anjuran Majlis Pesuruhjaya Pengakap Negeri Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perlis yang mendapat kerjasama padu daripada pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis itu bermula dan berakhir di Masjid Jamek Beseri.
Ia juga disekalikan dengan ‘Kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ kali ke 3 bagi tahun 2019 yang mana terdahulu daripada itu seramai 250 asnaf terpilih daripada kalangan ibubapa pelajar tiga buah sekolah berkenaan menerima sumbangan agihan zakat MAIPs berjumlah RM600 setiap seorang pada sesi kali ini daripada baginda.
Keberangkatan tiba Tuanku Raja Muda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Perlis, Azmi Abdullah.
Turut hadir ialah Pengarah Pendidikan Perlis, Izmi Ismail. Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Presiden DiRaja Pengakap Perlis turut menambah bahawa pada masa yang sama, para pemimpin Pengakap diharap agar berupaya untuk mendidik, mengasuh, membimbing dan memimpin golongan kanak-kanak dan belia hari ini dari segi pembentukan jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial mereka.
Untuk rekod, Persatuan Pengakap Malaysia Negeri Perlis kini sudahpun menjangkau usia 88 tahun sejak didaftarkan secara rasmi pada tahun 1931 yang lalu dan harus dibanggakan.
Mengambil sempena program tersebut juga, para peserta turut singgah melawat premis projek peningkatan sosio-ekonomi asnaf MAIPs milik Mohd Fairus Mohamad beralamat Batu 8 1/2 Kg Semadong, Jalan Kaki Bukit yang mengusahakan bengkel kereta bagi membaiki kenderaan dan mengecat. – UTUSAN ONLINE










