Penerbangan eksklusif belon udara panas - Utusan Malaysia

Penerbangan eksklusif belon udara panas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 14 Jan. – Program tahunan yang ditunggu-tunggu ramai di negeri ini, Fiesta Belon Udara Panas Pulau Pinang kembali lagi dengan kali ini menawarkan penerbangan istimewa di kawasan Seberang Perai.

Program yang di­bawakan oleh MyBalloon Adventure itu akan menawarkan penerbangan eksklusif dengan pemandangan menakjubkan di kawasan seberang negeri ini pada 8 hingga 10 Februari ini.

Pengarah MyBalloon Adven­ture, Izzati Khairuddin berkata, penerba­ngan selama 45 minit hing­ga sejam pa­da harga pakej RM888 seorang itu meliputi sarapan, sijil pener­bangan, foto ‘in-flight’, video ‘time-lapse’ serta upacara ‘post flight ceremony’ yang diadakan oleh juruterbang belon sendiri.

Menurutnya, mereka yang membuat tempahan pada 8 Februari berpeluang untuk terbang bersama belon-belon udara panas yang akan membuat penampilan di fiesta tahun ini.

“Pakej istimewa ini merupakan satu-satunya tawaran pe­nerbangan belon udara panas kepada pelancong dari luar dan dalam negara untuk terbang bebas di sebelah utara negara,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Menurut Izzati, pe­lu­ang menai­ki belon uda­ra panas itu akan memberikan pengalaman menikmati keindahan matahari terbit dengan pemandangan panorama yang saujana mata memandang.

Katanya, orang ramai juga berpeluang berlayar di udara bersama keindahan alam semula jadi serta kemegahan ke­dua-dua jambatan Pulau Pinang yang menyeberangi Selat Melaka pada ketinggian kira-kira 600 meter di udara.

“Tiket bagi mengikuti pe­ngalaman eksklusif ini adalah terhad dan tempahan boleh dibuat menerusi laman web www.myballoonadventure.com,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, orang ramai juga dijemput menyertai Fiesta Belon Udara Panas Pulau Pinang yang akan mengambil tempat di Padang Polo, George Town di sini pada 9 dan 10 Februari depan.

Katanya, sebanyak 15 belon tempatan dan antarabangsa akan dipamerkan pada fiesta itu yang akan berlangsung bermula pukul 7 pagi hingga 9 malam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN