KOTA BHARU 3 Jan. – Beberapa penduduk di pesisir Pantai Pulau Kundur cemas apabila ombak besar akibat tempias ribut tropika Pabuk mula menghentam kawasan kediaman mereka.
Malah ombak besar tersebut turut menghempas dinding rumah seorang penduduk, Isa Hassan, 63, yang terletak kira empat meter dari pantai kira-kira pukul 5 pagi tadi.
Namun tidak ada kerosakan besar atau kecedaraan yang berlaku tetapi Isa bersama sembilan ahli keluarganya tetap cemas dan telah mengambil langkah untuk berjaga-jaga.

Menurut Isa, ribut tropika tersebut berbeza daripasa angin musim tengkujuh kerana sukar untuk diramal dan lebih kuat.
“Kami sudah biasa dengan angin kuat dan ombak musim tengkujuh yang kadang kala membawa air serta pasir masuk ke dalam rumah.
“Ombak dan angin sangat kuat malam tadi. Kami semua berjaga kerana bimbang sesuatu yang lebih buruk akan berlaku,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Sementara itu, Nik Abdul Aziz Mamat, 63, berkata, dia hanya dapat tidur selama dua jam sahaja disebabkan angin yang terlalu kuat kerana kediamannya terletak kira-kira 10 meter dari pantai.
Dia yang tinggal bersama isteri, Mariam Hassan, 60, serta enam anaknya berkata, mereka sekeluarga sedang menunggu arahan selanjutnya daripada pihak berkuasa.
“Sebelum ini penduduk di kampung ini ada bergotong royong membina guni yang berisi pasir di persisir pantai sebagai usaha berjaga-jaga.
“Pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga telah membina tembok batu untuk menghalang hakisan pantai dan ombak kuat di sini.
“Namun, usaha itu tidak dapat menyelesaikan masalah hakisan pantai dan kami masih sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga bila menjelang musim tengkujuh,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










