Penduduk Kampung Rim tangkap ular sawa seberat 130 kilogram - Utusan Malaysia

Penduduk Kampung Rim tangkap ular sawa seberat 130 kilogram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN – Seekor ular sawa seberat 130 kilogram berjaya ditangkap oleh penduduk kampung selepas ditemui sedang berehat berdekatan sebuah bangsal ayam di Kampung Rim di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 petang, haiwan reptilia sepanjang 6.1 meter itu berjaya ditangkap oleh tiga penduduk kampung menggunakan tali. 

Menurut salah seorang penduduk kampung, Ibrahim Mat, 56, haiwan pemangsa itu ditemui ketika dia bersama beberapa saudaranya sedang membersihkan bangsal tersebut. 

“Ketika mengemas, saya ternampak seekor ular sawa sedang berehat, namun apabila diperiksa haiwan itu belum membaham ayam kampung yang dipelihara di dalam bangsal.

“Saya dan abang saudara bertindak menangkap dan mengikat kepala ular itu menggunakan tali sebelum kami menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Katanya, dia percaya ular itu datang dari kawasan semak berhampiran ladang kelapa sawit yang ketika ini sedang dibersihkan.

Sementara itu, Kapten (PA) Shahrulnizam Mad Shah berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.05 petang dan empat anggota dikejarkan ke lokasi.

“Anggota APM kemudian menggunakan peralatan penjerut untuk mengangkat reptilia tersebut dalam masa kira-kira 10 minit dan haiwan itu dibawa ke pusat simpanan sementara di pejabat APM,” katanya. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×