BAITULMUQADDIS 24 Jan. – Penduduk Palestin bersama sekumpulan aktivis bertindak membina halangan pada lebuh raya baharu dekat Tebing Barat yang dilabelkan sebagai ‘jalan aparteid’ kerana membahagikan laluan antara pemandu Palestin dan Israel.
Al-Jazeera melaporkan, berpuluh-puluh penunjuk perasaan menutup sementara laluan masuk ke bahagian operasi pertama di timur Baitulmuqaddis.
Kedua-dua jalan itu, yang satu dibina untuk warga Palestin sementara satu lagi bagi penduduk di penempatan haram Yahudi dipisahkan oleh dinding konkrit setinggi lapan meter.
Media tempatan melaporkan, dua penunjuk perasaan ditahan manakala empat lagi cedera selepas bertembung dengan tentera Israel yang cuba membuka jalan tersebut.
Bagi warga Palestin, jalan tersebut menghalang mereka untuk mengunjungi Baitulmuqaddis kerana laluannya yang terus ke Ramallah dan Bethlehem.
Berlainan dengan jalan yang dibina untuk Israel yang menghubungkan Zionis terus ke Baitulmuqaddis.
Jalan berkenaan menghubungkan utara dan timur Baitulmuqaddis merentasi perkampungan Palestin, Khan al-Ahmar dan penempatan Maale Adumin di kawasan yang dikenali sebagai E-1.
Rejim Zionis sekian lama menggerakkan pembangunan di kawasan itu sebagai sebahagian rancangan ‘Greater Jerusalem’ yang antara lain menumpukan persempadanan semula di bandar tersebut.
Tindakan meluaskan pembangunan Baitulmuqaddis ke timur membolehkan penempatan Zionis dikembangkan, sekali gus menghubungkan Maale terus kepada Baitulmuqaddis.
Pada masa yang sama, tindakan itu juga akan mengakibatkan ribuan warga Palestin yang tinggal di bandar-bandar kecil dan perkampungan di kawasan tersebut terputus hubungan dengan Baitulmuqaddis.










