Pendaratan cemas paling mencabar - Utusan Malaysia

Pendaratan cemas paling mencabar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENERBANGKAN helikopter untuk operasi menyelamat terutama di kawasan pergunungan, bukit-bukau dan pedalaman adalah tugas utama pasukan ini.

Ketika melaksanakan tugas tersebut, juruterbang Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sentiasa berdepan pelbagai risiko dalam mengendalikan pesawat.

Menurut Ketua Cawangan Operasi Unit Udara JBPM Pangkalan Subang, Penguasa Kanan Bomba I Muhammad Saiful Nizam Samsudin, operasi menyelamat menjadi lebih mencabar sekiranya penerbangan dilakukan di kawasan pedalaman berikutan keadaan angin tidak menentu dan cuaca berubah begitu cepat.

Beliau yang kini menerbangkan pesawat AW189 dan Mi-17-IV memaklumkan ketika berada di udara, setiap juruterbang perlu sentiasa berwaspada dan mengenal pasti laluan penerbangan, bentuk muka bumi, cuaca, kehadiran pesawat lain di kawasan laluan dan banyak lagi.

“Apa yang paling penting adalah keselamatan diri, anak kapal dan penumpang. Oleh itu, setiap kali menerima arahan penerbangan, kami akan mulakan dengan taklimat, pengurusan dokumentasi dan pemeriksaan pesawat sambil mengkaji laluan yang akan digunakan untuk ke destinasi.

“Selalunya kami akan melakukan penerbangan sebagai respon kepada pelbagai operasi menyelamat antaranya misi pencarian atau membawa keluar mangsa dari kawasan pergunungan di samping bantuan banjir dan sebagainya,” katanya yang mempunyai pengalaman 14 tahun dalam dunia penerbangan.

Dengan jumlah 2,000 jam penerbangan, Muhammad Saiful Nizam menjelaskan, beliau juga tidak terlepas berdepan detik cemas ketika menerbangkan pesawat sehingga terpaksa melakukan pendaratan cemas di kawasan lapang yang bukan dikhaskan untuk tujuan itu.

Menceritakan pengalamannya, beliau yang bertugas di Pangkalan JBPM Subang memberitahu, detik cemas itu berlaku ketika ditugaskan menerbangkan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang ketika itu Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta sekumpulan wartawan untuk ke Tapah dan Ipoh, Perak pada 2015.

Katanya, beliau bertanggungjawab membawa kira-kira 22 penumpang termasuk bekas menteri tersebut untuk meninjau lokasi penempatan anggota bomba di Perak yang perlu bersedia bagi memberikan bantuan kecemasan ketika musim perayaan Aidilfitri pada tahun itu.

“Ketika itu saya baru menerbangkan helikopter kira-kira 20 minit dari Pangkalan Udara JBPM Subang. Apabila berada pada ketinggian 1,500 kaki di kawasan Trolak tiba-tiba lampu kecemasan berkelip dan amaran memaklumkan terdapat kerosakan pada sistem kotak gear pesawat yang memerlukan pendaratan cemas dilakukan.

“Saya terus merendahkan pesawat dan mencari kawasan lapang untuk pendaratan cemas. Tidak berapa lama kemudian, saya berjaya mendaratkan helikopter di kawasan padang bola di hadapan Klinik Desa Trolak,” ujarnya.

Kata Muhammad Saiful Nizam, disebabkan faktor teknikal seperti itulah helikopter perlu diperiksa secara berkala dan setiap kali sebelum melakukan penerbangan.

“Setiap kali pendaratan cemas perlu dilakukan, kita kena pantas memikirkan strategi pendaratan dan memeriksa kawasan yang paling sesuai untuk mendaratkan pesawat. Setiap juruterbang perlu sentiasa bersedia dengan apa jua lokasi pendaratan kerana perkara itu di luar jangkaan.

“Menerbangkan pesawat memang satu pengalaman yang menyeronokkan, tapi semasa mengendalikannya, sudah tentu kita tidak terlepas daripada situasi cemas. Bagaimanapun, juruterbang telah dididik dan diberi pendedahan awal mengenai tatacara pengendalian pesawat dalam situasi cemas,” tambahnya.

Terbangkan anak Orang Asli ke sekolah

TIDAK hanya terlibat dalam operasi menyelamat, juruterbang Unit Udara JBPM turut diperlukan dalam Op Murni iaitu operasi menghantar pelajar Orang Asli dari perkampungan mereka ke sekolah masing-masing dengan menggunakan helikopter, setiap tahun.

Penolong Penguasa Bomba Fazli Ezham Jamil, 34, berkata, kedudukan perkampungan Orang Asli dengan sekolah sangat jauh dan sekiranya menggunakan jalan darat, mereka terpaksa menempuh perjalanan sukar yang memakan masa berhari-hari.

Menurut juruterbang JBPM yang menerbangkan helikopter A109E dengan jumlah 178 jam penerbangan itu, setiap tahun pasukan Unit Udara JBPM dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) akan melakukan penerbangan ihsan dan mengumpulkan pelajar Orang Asli dari perkampungan mereka untuk dibawa ke sekolah bagi memulakan sesi pembelajaran.

“Saya juga berkesempatan melibatkan diri dalam Op Murni tahun ini yang baru selesai minggu lalu. Dalam operasi itu berlangsung selama dua hari, pasukan Unit Udara JBPM telah menerbangkan sebanyak 101 pelajar Orang Asli yang masih belum memulakan sesi persekolahan kerana terputus perhubungan jalan balak.

“Operasi mengambil pelajar Orang Asli memakan masa tiga hingga empat jam setiap hari dan bergantung kepada keadaan cuaca.

“Pelajar berkenaan diambil di setiap pos penempatan seperti Pos Bihai, Pos Belatim, Pos Balar, Pos Gob dan Pos Simpor di Gua Musang, Kelantan sebelum kami menerbangkan mereka dan mendarat di padang pusat sivik. Selepas mereka tiba di padang tersebut, pihak Jakoa akan mengambil alih tugas menghantar mereka ke sekolah-sekolah terbabit,” ujarnya.

Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Azuna Mohamed Sabri, 31, memaklumkan, sepanjang pembabitannya dalam Unit Udara JBPM, beliau pernah melakukan pendaratan cemas dari ketinggian 5,000 kaki.

Beliau yang kini menerbangkan helikopter Mi-17-IV berkata, ketika itu beliau terlibat dalam operasi bantuan banjir di Kelantan pada awal tahun lalu dan kemudian diarahkan untuk mengambil beberapa orang kenamaan dari Alor Setar, Kedah untuk ke lokasi banjir.

“Ketika berada di ruang udara Tasik Banding, Perak, tiba-tiba terdapat masalah pada sistem ‘auto-pilot’ pesawat sehingga menyebabkan pesawat senget. Waktu itu keadaan memang cemas memandangkan kami berada pada ketinggian 5,000 kaki di udara dan melalui kawasan pergunungan yang tidak membolehkan pendaratan kecemasan dilakukan.

“Bagaimanapun, saya berusaha mengawal helikopter dan meneruskan penerbangan secara berhati-hati sebelum selamat melakukan pendaratan kecemasan di Gerik, Perak,” katanya yang kini memperoleh jumlah 500 jam penerbangan.

Tambah Mohd. Azuna, beliau juga pernah menerbangkan beberapa ekor anjing K9 yang diperlukan untuk membantu operasi pencarian mangsa kejadian tanah runtuh di Pulau Pinang dua tahun lalu.

“Kami mendapat permohonan pesawat pada pukul 1 petang dan memerlukan penerbangan segera memandangkan keadaan di lokasi kejadian memerlukan bantuan secepat mungkin. Selepas melengkapkan segala proses permohonan, saya berlepas pada pukul 2.30 petang dan selamat mendarat di Pulau Pinang pada pukul 4 petang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×