LIPIS 9 Jan. – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu menganggap isu penangkapan anaknya tidak menjejaskan kempen Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands.
Dalam isu itu katanya, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada undang-undang untuk mengenakan apa-apa tindakan dan siasatan secara telus.
“Tidak ada masalah, serah kepada undang-undang dan saya tidak akan melindungi, seperti kenyataan saya sebelum ini serah kepada pihak polis dan ikut undang-undang.
“Macam anak orang lain juga tidak ada istimewa. Kami menteri sekarang bukan hendak melindungi, hendak guna (kuasa), tidak. Serah kepada undang-undang,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Ramah Mesra bersama Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Warga Felda Sungai Koyan di Dewan Semai Bakti Felda Sungai Koyan di sini petang ini.
Yang hadir sama Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Shefura Othman dan Pengerusi Amanah negeri, Dr. Hamzah Jaafar.
Baru-baru ini, anak Mohamad iaitu Ahmad Saiful Islam ditahan dalam serbuan oleh pihak berkuasa di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang.
Dia yang ditahan bersama seorang lagi rakannya berusia 33 tahun merupakan antara 101 individu iaiatu 55 wanita dan 46 lelaki yang diperiksa dalam Op Pusat Hiburan. – UTUSAN ONLINE










