Pemuda MCA wajar muhasabah diri - Utusan Malaysia

Pemuda MCA wajar muhasabah diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 31 Jan. – Pemuda MCA diminta bermuhasabah diri sebagai rakyat Malaysia apabila tidak menyokong dasar negara yang sudah sekian lama dilaksanakan dengan mempertikai keputusan kerajaan melarang kemasukan atlet Israel ke negara ini.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham, kenyataan Pemuda MCA kononnya keputusan kerajaan itu sebagai ‘menakutkan’ dan mundur secara jelas tidak menunjukkan mereka merupakan sebahagian daripada rakyat Malaysia.

Pemuda MCA kata beliau, diseru supaya melihat isu tersebut dari lensa mata dasar luar negeri Malaysia selama ini yang cukup jelas mengenai isu Palestin dan mengabaikan aspek kemanusiaan semata-mata kerana sukan.

“Sebarang percubaan menerima atlet Israel masuk ke Malaysia nyata bercanggah dengan dasar luar negeri kita. Malah, penerimaan mereka untuk memasuki pintu negara secara rasmi hanya memberikan legitimasi kepada kewujudan negara itu, sekali gus mengiktiraf kedaulatannya.

“Pengiktirafan ini juga bermakna Malaysia mengiktiraf kekejaman dan diskriminasi negara haram itu terhadap penduduk Palestin. Adakah MCA mahu memikul perkara ini?” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi Pemuda MCA Wilayah Persekutuan Tan Teik Peng mengeluarkan kenyataan isu larangan ke atas atlet Israel telah mencemarkan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa dan menganggap keputusan itu sebagai ‘menakutkan’ dan mundur.

Beliau beranggapan bahawa Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman gagal membezakan antara sukan dengan politik.

Mengulas lanjut, Ikmal Hazlan berkata, Pemuda MCA tidak perlu mempolitikkan isu tersebut dan menghalakan kritikan mereka terus kepada Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC).

Katanya, IPC adalah pihak yang sepatutnya memaklumkan kepada negara-negara anggota badan berkenaan mengenai dasar-dasar imigresen Malaysia bagi kemasukan atlet-atlet yang ingin bertanding di kejohanan terbabit.

“IPC boleh sahaja meneruskan kejohanan ini dan menasihatkan Israel untuk berundur dari menyertainya tetapi IPC lebih gemar untuk berpolitik berbanding memberikan peluang kepada atlet-atlet lain untuk bertanding secara sihat.

“Di sini juga, ternyata pandangan bahawa sebahagian besar dunia adalah proksi kepada Israel adalah benar. IPC mengambil langkah ini dengan mengetahui bahawa Israel telah banyak kali menghalang atlet atlet negara Islam terutama Palestin bertanding di negara mereka,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×