CAMERON HIGHLANDS 26 Jan. – Pemilihan calon dalam pilihan raya bukan dalam bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebaliknya di bawah tanggungjawab kerajaan.
Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, terpulang kepada kerajaan untuk membawa perkara tersebut ke Kabinet untuk dibincangkan.
“Perkara itu (pemilihan calon yang bertanding) adalah di luar bidang kuasa SPR kerana kita hanya menjalankan operasi pilihan raya sedangkan perkara itu adalah membabitkan polisi.
“Terpulang kepada pembuat dasar, ahli-ahli Parlimen untuk membincangkan perkara itu (sistem pemilihan calon) sama ada perlu ditukar atau tidak,” katanya ketika ditemui selepas meninjau pusat mengundi di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) Brinchang di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas mengenai sistem pemilihan calon wakil rakyat di negara ini yang didakwa mempunyai kesilapan apabila membenarkan calon luar bertanding untuk mendapat undi rakyat. – UTUSAN ONLINE










