GUA MUSANG – Seorang pembonceng motosikal lelaki maut selepas diseret treler dalam kejadian kemalangan di kilometer 15, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, malam tadi.
Dalam kejadian pukul 10.44 malam itu, mangsa yang membonceng motosikal jenis Honda EX5, Muhammad Zulkairul Azhar Mohd. Nawi, 23, (Gambar kecil) dari Kampung Batu 6 di sini maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederan parah akibat diseret sejauh 146 meter oleh treler berkenaan.
Rakannya yang juga penunggang motosikal, Hafizul Akmal Anuar, 26, mengalami kecederaan ringan manakala pemandu treler jenis Volvo, Bahari Yusof, 51, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, siasatan awal kemalangan mendapati, mangsa dan rakannya yang menaiki motosikal dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kuala Krai hilang kawalan dan terbabas ke arah kanan jalan ketika sampai di tempat kejadian.
Katanya, akibat terbabas mangsa dan rakannya telah terjatuh dan terbaring di tengah jalan.
“Dalam masa yang sama sebuah treler kosong datang dari arah Kuala Krai ke Gua Musang tidak sempat mengelak kerana jarak terlalu dekat, lalu tayar belakang treler telah menggilis dan mengheret mangsa sejauh 146 meter.
“Akibat pelanggaran, pembonceng motosikal mengalami kecederan parah di bahagian kepala dan tangan kanan maut di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Taufik berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat dan rakannya menerima rawatan di hospital sama.
Katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa kemalangan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE










