KOTA BHARU – Seorang pembantu tadbir kanan wanita sebuah pusat pemulihan akhlak yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri selepas dipercayai membuat 94 tuntutan palsu bernilai lebih RM148,000 direman selama enam hari sehingga Sabtu ini.
Terdahulu, suspek yang berpakaian lokap berwarna jingga dibawa ke Mahkamah Kota Bharu dengan diiringi pegawai SPRM pada pukul 9.50 pagi.
Perintah reman selama enam hari bermula hari ini itu dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Majistret, Nor Faizah Abdullah.
Suspek kemudian dibawa menaiki sebuah kenderaan pada pukul 10.30 pagi ke Pejabat SPRM Kelantan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana mengemukakan tuntutan palsu.
Kosmo! hari ini melaporkan, seorang pembantu tadbir kanan wanita berusia 39 tahun ditahan pada pukul 1.50 petang semalam selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kelantan di sini.
Suspek ditahan kerana dipercayai membuat 69 tuntutan palsu bagi rawatan perubatan untuk diri beliau, suami dan ayahnya yang dianggarkan bernilai lebih RM117,000 sedangan rawatan tersebut tidak pernah dilakukan.
Wanita itu juga telah membuat 25 lagi tuntutan palsu bagi pembelian ubat dan satu tuntutan palsu pembelian alatan ortopedik yang dianggarkan bernilai lebih RM31,000, sedangan pembelian tersebut tidak pernah dibuat. – K! ONLINE










