AWAL tahun 2019 ini kita dikejutkan dengan tragedi kemalangan di Kilometer 4 Jambatan Pulau Pinang menghala Perai pada jam 2.54 pagi di mana sebuah kereta utiliti sukan (SUV) jenis Mazda CX-5 terhumban ke dalam laut selepas beberapakali berpusing akibat terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan Toyota Vios.
Hasil paparan dari rakaman ‘dashcam’ yang dirakam pemandu lain, rakaman cctv serta keterangan saksi-saksi, dipercayai Toyota Vios dipandu laju sehingga terbabas dan merempuh SUV berkenaan.
Kejadian malang ini menjadikan usaha mengeluarkan SUV tersebut dari laut adalah sukar berikutan faktor arus deras dan penglihatan yang terhad di dasar laut menyukarkan pasukan penyelam untuk turun ke kereta mangsa bagi memasang kabel bagi membolehkan kren menarik kenderaan tersebut ke atas Jambatan Pulau Pinang.
Faktor keselamatan penyelam operasi menyelamat juga perlu diambilkira memandangkan keadaan kereta yang teruk dengan serpihan tajam turut mengundang bahaya.
Hasil usaha dua percubaan dengan kerjasama lima agensi terdiri dari 169 orang pegawai dan anggota APMM, Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba Dan Penyelamat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Angkatan Pertahanan Awam, operasi itu berjaya menaikkan kereta bersama mayat pemandunya ke atas Jambatan Pulau Pinang.
Kemalangan tragis yang disebabkan oleh kecuaian pemandu bukan perkara baru di negara kita malah ia berterusan berlaku walau beberapa langkah pencegahan telah dilakukan.
Ketika melepak di kawasan letak kereta di Pusat Komersil BDC (1Arena) di Jalan Chong Thien Vun, Tawau, pada Julai 2018, empat lelaki maut dan seorang lagi patah kaki selepas dirempuh sebuah kereta Toyota Vios.
Dalam kejadian 1.15 pagi itu, kereta dipandu wanita berusia 34 tahun turut melanggar sebuah van Toyota Hiace serta dua kereta iaitu Perodua Bezza dan Perodua Myvi. Siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca
daripada kecuaian wanita terbabit yang memandu dalam keadaan mabuk dan gagal mengawal keretanya sehingga terbabas.
Ini diikuti pula pada 24 Disember 2018, sebuah bas ekspres yang menghala ke utara terjatuh ke dalam gaung sedalam enam meter di KM 137 Lebuh Raya PLUS mengakibatkan 14 orang terbunuh.
Terdahulu, pada 24 Oktober 2017, lapan pekerja kilang maut dan 44 yang lain cedera dalam kemalangan melibatkan dua bas kilang dan sebuah van kilang di KM 147 Lebuhraya PLUS dekat plaza tol Juru.
Pada November 2017, seorang pemandu bas ekspres dan 26 penumpang cedera apabila bas itu terbalik di KM 434.9 Lebuhraya PLUS (menghala ke utara ) di Rawang. Dalam kejadian pada 4.50 pagi itu, bas berkenaan yang menghala ke Kuala Lumpur dipercayai telah melanggar pembahagi jalan dan terbabas sebelum terbalik dan memasuki laluan bertentangan.
Kemalangan maut paling tragik berlaku pada 2013 apabila 37 penumpang maut dan 16 cedera dalam nahas yang berlaku dekat Tokong Chin Swee, Genting Highlands, Pahang.
Semua kemalangan berkenaan dilaporkan kerana kecuaian pemandu, sama ada pemandu mengantuk, tertidur, bawa terlalu laju, mengelak sesuatu, pemandu bertentangan yang memasuki jalan atau di bawah pengaruh dadah atau alkohol.
Suatu langkah efektif untuk menangani isu ini sangat diperlukan supaya pemandu bertanggungjawab dan sedar bahawa memandu secara cuai merupakan suatu kesalahan.
Ini patut disusuli dengan undang-undang yang juga efektif bagi memberi pengajaran dan peringatan kepada pemandu cuai kerana kecuaian mereka menyebabkan nyawa menjadi taruhan. Lebih malang lagi ia melibatkan nyawa orang yang tidak berkaitan.
Selalunya kes kemalangan jalanraya diklasifikasikan dibawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kes yang menyebabkan kematian (dengan niat) pula boleh didakwa di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan dan disabit kesalahan dijatuhkan hukuman mati mandatori sekiranya pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap
pertuduhannya.
Jika disebaliknya pula, mahkamah boleh meminda pertuduhan kepada membunuh tanpa niat iaitu kesalahan di bawah seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda atau seksyen 304 (b)
Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kebiasaannya, hukuman penjara tersebut berkuatkuasa mulai tarikh tertuduh ditangkap.
Dalam menjatuhkan penghakiman, mahkamah turut mengambil kira beberapa faktor, di antaranya ialah kepentingan awam, kesalahan yang disabitkan terhadap tertuduh, tanggungan tertuduh terhadap keluarga, kesalahan terdahulu, sentimen awam, objektif hukuman pesalah dan sebagainya.
Seksyen 304 Kanun Keseksaan merupakan peluang kedua yang diberi kepada tertuduh supaya akan menjadi orang yang berguna kepada negara apabila selesai menjalani hukuman penjara. Hukuman juga bertujuan membendung kesalahan itu daripada berulang.
Kategori ketiga dalam seksyen 299 Kanun Keseksaan memperuntukkan kesalahan mematikan orang dengan salah iaitu dengan mengetahui bahawa perbuatan sedemikian mungkin menyebabkan kematian.
Merujuk kepada kes-kes pemanduan cuai, kategori ini terpakai di mana tiada niat untuk menyebabkan kematian, namun dengan pengetahuan bahawa perbuatannya berkemungkinan boleh menyebabkan kematian. Pengetahuan di
sini merujuk kepada persoalan adakah orang yang memandu denga cuai mengetahui kesan dan akibat daripada perbuatannya itu mungkin menyebabkan kematian.
Merungkai akibat perbuatan yang membahayakan ini sebenarnya lebih kepada persoalan fakta. Merujuk keputusan kes Zahid Khan, mahkamah memutuskan dalam keadaan-keadaan tertentu, perbuatan tanpa niat menyebabkan kematian dengan salah boleh menjadi kesalahan membunuh berdasarkan pembuktian niat dan perbuatan tertuduh.
Begitu juga disebaliknya. Oleh itu, seseorang perlu berhati-hati dengan perbuatannya kerana akibat dari perbuatannya boleh menjatuhkan tanggungan yang berbeza.
Penumpang dan orang awam sering terdedah kepada bahaya di atas kecuaian pemandu. Memandulah dengan berhemah walau di manapun kerana nyawa menjadi taruhan apabila pemandu cuai.
Roos Niza Mohd Shariff adalah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Undang-undang, Universiti Utara Malaysia.










