Pelajar perlu jaga pemakanan supaya sentiasa cerdas - Raja Muda Perlis - Utusan Malaysia

Pelajar perlu jaga pemakanan supaya sentiasa cerdas – Raja Muda Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 14 Jan. – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menasihatkan agar semua pihak harus memainkan peranan menjaga kesihatan golongan pelajar dan pada masa yang sama ibu bapa perlulah mendidik anak-anak mereka untuk sentiasa mengamalkan pemakanan sihat.


Para pelajar, titah baginda, harus dijaga dari sudut pemakanan mereka dan dipastikan hanya makan makanan yang berkhasiat seperti buah-buahan, sayuran, susu segar serta memperbanyakkan meminum air masak dari usia muda lagi.


Kebanyakan makanan ringan, titah baginda, kurang khasiatnya, tinggi gula, pewarna dan perisa tiruan yang mengakibatkan ketagihan serta penyakit. Kesan awal ini dapat kita lihat di sekolah apabila pelajar menjadi lesu tidak bermaya, mudah letih, tidur dalam kelas dan tidak bersemangat meneruskan sesi pembelajaran.


Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat melancarkan ‘Program Amal Nuri Nutrisi’ anjuran Bank Rakyat yang diadakan di Masjid Al-Rahman Kampung Simpang Sanglang, Sanglang baru-baru ini.


Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.


Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Malaysia, Datuk Wira Dr. Mohd. Hatta Md Ramli dan Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Noripah Kamso. 


Program berkenaan yang disekalikan dengan ‘Kayuhan MAIPs Peduli kali ke 4 bagi tahun 2019’ dan ‘Op Sifar Cicir Sekolah’ peringkat SMK Sanglang, SK Sanglang dan SK Padang Keria mendapat kerjasama daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dan Jabatan Kesihatan Negeri Perlis.


Baginda turut menambah bahawa inisiatif Bank Rakyat ini amat baik sekali kerana ia bakal menyediakan sebuah persekitaran sihat di samping penyediaan nutrisi yang seimbang kepada pelajar terpilih di mana kita tahu bahawa nutrisi amat penting di dalam membekalkan tenaga yang cukup dan kesihatan yang baik kepada mereka di dalam menuntut ilmu saban hari.


Bersempena program tersebut Bank Rakyat turut menaja pengwujudan sebuah ‘Kebun Nutrisi’ di SMK Sanglang yang diharap bukan sahaja mampu membekalkan sumber nutrisi yang berterusan, malah suasana menghijau, membekalkan oksigen, udara yang nyaman dan turut memupuk minat serta semangat terhadap bidang pertanian dan keusahawanan di kalangan pelajar. – UTUSAN ONLINE


Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN