SUNGAI PETANI – Seorang pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) Sungai Petani maut selepas terlanggar sebuah tong kosong di Kilometer 101.3 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Taman Ria di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, mangsa, Mohd. Ariff Aizudin Zainol, 20, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.
Mangsa merupakan pelajar semester empat Diploma Kompetensi Elektrik.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kemalangan berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC di lorong kecemasan terlanggar sebuah tong kosong lima liter.
“Perlanggaran tersebut menyebabkan mangsa terbabas ke kiri jalan dan merempuh pagar besi penghadang.
“Mangsa yang mengalami kecederaan serius pada kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata beliau, kejadian berlaku ketika cuaca hujan renyai.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk dibedah siasat,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- K! ONLINE











