KANGAR 3 Jan. – Kerajaan negeri akur dan selari dengan keputusan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) yang memecat seramai 25 orang imam di negeri ini kelmarin atas beberapa faktor, yang antaranya tidak boleh didedahkan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kebajikan dan Bantuan Bencana dan Hubungan dan Kerjasama Sempadan negeri, Ruzaini Rais berkata, selain beberapa faktor yang tidak boleh didedahkan itu, pemecatan tersebut antaranya adalah disebabkan usia dalam kalangan imam yang sudah mencecah 65 sehingga 70 tahun.
Justeru katanya, imam yang menerima surat penamatan tugas serta anak kariah diharap dapat menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka demi kebaikan semua.
“Kita akur dan selaras dengan keputusan dibuat JAIPs yang terletak di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu.
“Selain faktor usia, terdapat beberapa lagi faktor yang diambil kira dalam membuat keputusan tersebut, namun tidak boleh didedahkan,” katanya di sini, hari ini.
Sebuah portal dalam talian hari ini melaporkan seramai 25 orang imam kariah sekitar Perlis dipecat, manakala lebih 10 lagi ditukarkan ke kariah lain tanpa alasan melalui surat, berkuat kuasa Selasa lalu.
Surat yang dikeluarkan JAIPs bertarikh 31 Disember 2018 itu, dilihat seakan-akan dibuat secara tergesa-gesa tanpa menyatakan sebab pemecatan bermula 1 Januari 2019, sehingga tiada nombor rujukan surat diisi dalam kurungan pada bahagian atas surat berkenaan.
Sementara itu, Ruzaini meminta
anak kariah yang bercadang untuk membuat demonstrasi ekoran ketidakpuasan hati mereka berhubung keputusan itu agar membatalkannya segera kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah.
“Saya nasihatkan supaya pergi berbincang dengan JAIPs dan MAIPs secara baik kerana pintu rundingan sentiasa terbuka,” katanya.
Dalam pada itu katanya, pelantikan imam baharu telah dibuat dan berharap seluruh anak kariah dapat menerimanya dengan baik selain tidak menjadikannya sebagai isu politik.- UTUSAN ONLINE










