Payung rakyat menumpang teduh - Utusan Malaysia

Payung rakyat menumpang teduh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPERIBADIAN Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang mesra dan mudah didekati oleh segenap lapisan masyarakat sudah tidak asing bagi rakyat negara ini.

Sebelum berkhidmat di Pahang, penulis juga sedia maklum dengan perwatakan bekas Tengku Mahkota Pahang selama 44 tahun ini yang diwarisi daripada ayahanda baginda, Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah.

Sultan Pahang Keenam dalam era moden yang dimasyhurkan pada 15 Januari lalu ini juga mesra media. Sebagai pengamal media, sudah tentu penulis tertarik dengan perwatakan berkenaan apabila membaca banyak bahan berita yang disiarkan hasil sidang akhbar atau ketika baginda ditemui di majlis-majlis, bukan berdasarkan titah ucapan semata-mata.

Namun, pengetahuan penulis tentang gambaran sifat baginda ketika itu adalah ‘dari jauh’, berdasarkan pembacaan dan menontonnya di kaca televisyen. Bukan melihat atau mengalaminya sendiri.

AMBIL BERAT

Dihantar bertugas ke Pahang sejak 2015 membuka peluang kepada penulis untuk mengikuti kepemimpinan Sultan Abdullah yang berteraskan prinsip ‘raja dan rakyat berpisah tiada’ secara dekat. Nyata perwatakan dan keperibadian baginda itu bukan sekadar cakap-cakap pemanis mulut.

Salah satu program yang dapat ‘merangkumkan’ gambaran perwatakan Sultan Abdullah ialah majlis pengurniaan sumbangan kepada mangsa ribut di Sekolah Menengah Kebangsaan Abu Bakar di Temerloh pada 16 Julai 2016.

Sepertimana sifat Sultan Abdullah yang mengambil berat tentang hal ehwal rakyat Pahang, sebaik sahaja mendengar rakyat ditimpa bencana menimpa, baginda pasti cuba menemui mereka tanpa mengira masa serta lokasi.

Dalam titahnya, baginda menasihatkan mereka supaya dapat mengekalkan sifat sabar dengan bencana yang berlaku dan saling membantu antara satu sama lain. Bencana yang menimpa itu adalah kehendak Allah SWT dalam memberi peringatan kepada hamba-Nya supaya sentiasa bersyukur dengan nikmat kurniaan-Nya.

Semasa mengurniakan sumbangan bantuan daripada Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) kepada mangsa-mangsa yang terlibat sebagai membantu meringankan beban mereka, terserlah sifat mesra Sultan Abdullah yang tanpa terlalu mengikut protokol kelihatan senang melayan dan berbual dengan mereka.

Ketika mahu melangkah keluar dari dewan untuk berangkat ke lokasi lain, Sultan Abdullah didatangi sekumpulan petugas media yang ingin mendapatkan respons baginda mengenai majlis berkenaan dan ‘isu lain’ iaitu berhubung keputusan empat pemain pasukan bola sepak bersara awal daripada skuad kebangsaan.

SOLAT SUBUH BERJEMAAH

Baginda sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ketika itu tanpa keberatan melayan pertanyaan dan menjawab soalan-soalan yang diajukan, membuatkan wartawan termasuk penulis yang berada di situ berpuas hati serta menghormati sikap Sultan Abdullah yang sentiasa berkenan memberikan kerjasama.

Hakikatnya, kedudukan dan jawatan Sultan Abdullah tidak mengubah keperibadian serta cara baginda berhadapan dengan rakyat. Selepas dilantik sebagai Sultan Pahang Keenam pertengahan bulan ini, baginda meneruskan rutin solat Subuh berjemaah diikuti talaqqi al-Quran di Masjid Al Imam Ash Shafie di Kotasas, Kuantan. Masjid berkenaan terletak berhampiran kediaman baginda, Istana Abdulaziz.

“Sejak Kotasas dibuka dan masjid ini dioperasikan pada 2012, Sultan Abdullah sering solat Subuh berjemaah dan membaca al-Quran di sini termasuk bersama ahli keluarga baginda.

“Kami di Kotasas berasa seronok dan saya sebut kepada Tuanku bahawa kehadiran baginda menjadi sumber inspirasi penduduk menyebabkan semakin ramai jemaah datang ke masjid untuk solat Subuh,” kata Imam I Masjid Imam Ash Shafie, Izalludin Mat Nor, 53, kepada penulis.

Sultan Abdullah juga akan terus mengunjungi sebuah restoran di Indera Mahkota untuk bersarapan dan berbual bersama pengunjung secara santai sambil menikmati telur separuh masak dan roti canai selepas selesai menunaikan solat Subuh.

Keperibadian dan kemesraan Sultan Abdullah juga masih sama walaupun selepas dipilih sebagai sebagai yang di-Pertuan Agong Ke-16. Dua hari selepas diumumkan memegang jawatan berkenaan berkuat kuasa hari ini (31 Januari), baginda meluangkan masa lebih dua jam mencemar duli turun padang untuk bersama rakyat di Perkampungan Sungai Isap 2 di Kuantan.

KONGSI ILMU, NASIHAT

Baginda berangkat mencemar duli menunaikan solat Zohor bersama kira-kira 500 jemaah di Masjid Al-Falah dan menyampaikan sumbangan peribadi kepada pengurusan masjid sebelum berjalan mengunjungi rumah baharu sebuah keluarga yang terlibat dalam kebakaran di situ.

Dalam suasana penuh mesra, Sultan Abdullah menikmati menu gulai lemak nangka, opor daging istimewa, kari ikan tenggiri, sambal hitam Pahang dan sambal tempoyak yang disediakan keluarga tersebut sebagai hidangan tengah hari.

Baginda kemudian meluangkan masa setengah jam bersama pasangan pengantin bisu, Siti Nurbaya Muhammad Hoe, 24, dan Mohd. Hafizan Zaini, 27, dalam majlis meraikan perkahwinan mereka di Dewan Mentiga.

Dalam pada itu, cerita tentang sikap dan sifat Sultan Abdullah yang suka berdamping dengan rakyat turut dikongsi oleh Presiden Kelab Media Pahang (KMP), Datuk Nik Naizi Husin yang sudah 24 tahun berkhidmat dengan akhbar The Star di Pahang sejak 1995.

“Baginda seorang yang mudah ditemui atau didekati walaupun dikelilingi oleh pegawai atau pengawal peribadi. Apabila melihat wartawan sedang menunggu untuk bertanyakan soalan, baginda melayaninya dan memberi jawapan secara matang dan sopan dalam apa juga keadaan.

“Jika terdapat majlis yang dianjurkan KMP, baginda sedaya upaya tidak menghampakan jemputan atau penyilaan yang dibuat oleh warga media. Sepanjang saya mengenali Sultan Abdullah, baginda tidak lokek memberikan ilmu dan nasihat,” katanya.

Frasa keramat ‘raja dan rakyat berpisah tiada’ akan terus subur dalam pemerintahan Sultan Abdullah sepertimana titah baginda:

“Kepada rakyat jelata sekalian, saya ini tidak ubah ‘bagai condong yang akan menongkat, bagai rebah yang akan menegak’. Kepada sayalah tempat sekalian rakyat menumpang teduh apabila dilanda musibah dan menumpang kasih apabila berduka.”

Digarhayu Daulat Dirgahayu Tuanku!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×