KHABAR gembira bagi rakyat Johor terutama lebih 500,000 penduduk Pasir Gudang apabila kerajaan negeri bercadang menaik taraf Pasir Gudang menjadi bandar raya tidak lama lagi.
Pasir Gudang akan menjadi bandar raya ketiga di negeri ini selepas Johor Bahru dan Iskandar Puteri. Status itu akan diberikan dalam masa terdekat menurut Menteri Besar, Datuk Osman Sapian yang mengumumkan perkembangan tersebut baru-baru ini.
Persoalannya adakah Pasir Gudang sudah bersedia dari segi infrastruktur, kemudahan serta semua kriteria untuk melayakkannya menjadikannya sebagai sebuah bandar raya baharu?
Reaksi awal diberikan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim apabila perkara itu diumumkan ialah mahukan kerajaan melakukan beberapa perkara penting di daerah tersebut yang bersebelahan dengan Johor Bahru dan tidak jauh dengan Iskandar Puteri.
Menurut Hassan yang juga Pengerusi PKR Johor, Pasir Gudang perlu mempunyai hospitalnya sendiri seperti dirancangkan sebelum ini di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pula menyatakan komitmen untuk meneruskannya.
Katanya, kerajaan juga harus mengatasi masalah kemiskinan bandar, mengatasi ruang udara Pasir Gudang yang menjadi laluan pesawat terbang ke Lapangan Terbang Seletar di Singapura. Isu berkenaan dibangkitkan beliau dalam Dewan Rakyat hingga mencetus polemik.
Begitu juga menaik taraf landasan kereta api kargo kepada landasan komuter dari Pelabuhan Johor, Pasir Gudang ke Johor Bahru dan Pelabuhan Tanjung Pelepas, Iskandar Puteri.
Bagi penulis, Pasir Gudang yang terbahagi kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya dan DUN Permas mempunyai potensi besar untuk dimajukan kerana merupakan pusat pelaburan utama selatan tanah air selain merupakan hab pendidikan utama di negeri ini.
Sebagai sebuah bandar raya nanti, diharapkan masalah banjir kilat yang sering melanda beberapa kawasan dapat diatasi antaranya di Masai, Kampung Belantik dan Kampung Bendahara.
Bagi memastikan status itu menjamin golongan bawahan tidak terpinggir dengan arus pembangunan, lebih banyak rumah mampu milik perlu dibina selain rumah sewa beli termasuk mengatasi projek rumah terbengkalai. Ini kerana terdapat 50 peratus penduduk di sini merupakan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).
Masalah pencemaran udara perlu ditangani kerana kita tahu, terdapat lebih 400 kilang beroperasi di daerah ini dan merupakan antara kawasan industri terbesar dibangunkan di negara ini setakat ini. Pasir Gudang merupakan bandar perindustrian utama di negeri ini melibatkan pelbagai industri berat dan ringan.
Sebagai persediaan menjadi warga bandar raya, masalah gangguan bekalan air atau catuan pada musim kemarau atau loji dan empangan air tercemar perlu diatasi. Kita tidak mahu apabila sudah bergelar bandar raya tetapi taraf hidupnya masih sama seperti dahulu.










