PEKAN – Penduduk Kampung Nelayan serta Kampung Tanjung Batu dekat Nenasi di sini semakin sukar tidur lena kerana hakisan tebing di Kuala Nenasi yang berlarutan sejak tiga tahun lalu bakal melenyapkan kawasan itu daripada peta.
Hakisan tersebut menyebabkan runtuhan berskala besar di sepanjang tebing pantai Kuala Nenasi yang kini bertambah kepada kira-kira tiga kilometer berbanding dua kilometer pada awal 2016.
Lebih buruk, hakisan tersebut turut menyebabkan empat buah rumah nelayan dan sebahagian jalan kampung di kawasan berkenaan mengalami runtuhan kira-kira 1.5 meter antara tempoh pagi kelmarin hingga malam tadi.
Selain itu, kedudukan tembok Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kee Wha dan Giat Mara Nenasi di sini juga semakin terdedah kepada risiko runtuhan yang lebih teruk sekiranya tiada tindakan dilakukan pada kadar segera.
Wakil penduduk yang juga pengusaha chalet, Edde Firdaus Abd. Aziz, 39, berkata, mereka tidak lena tidur dan terpaksa berjaga malam sejak tiga hari lalu untuk memantau keadaan tebing yang mengalami runtuhan lebih besar.
“Sehingga hari ini, kira-kira setengah ekar (2.2 kilometer persegi) kawasan chalet telah runtuh. Di kawasan sepanjang tebing di kampung pula runtuh kira-kira tiga kilometer dalam tempoh tiga tahun.
“Sejak beberapa hari lalu, runtuhan di sepanjang tebing semakin menjadi-jadi disebabkan ombak dan ia menyebabkan kami tidak boleh tidur kerana terlalu bimbang,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. – K! ONLINE











