LIPIS – Pahang meluluskan 73 permit penggunaan tanah dalam kawasan Hutan Simpan Kekal Cameron Highlands seluas kira-kira 146 hektar kepada pekebun sayur di daerah itu, hari ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, turut menerima permit itu ialah 64 pekebun Cina yang mengusahakan tanaman secara tidak sah di daerah itu dalam tempoh lebih 10 tahun.
Wan Rosdy berkata, kelulusan permit itu membuktikan kerajaan negeri prihatin dalam membantu pekebun mengusahakan kegiatan pertanian tanpa rasa bimbang dikenakan tindakan oleh Jabatan Tanah dan Jabatan Perhutanan.
“Walaupun sebelum ini mereka tidak memiliki permit, kerajaan negeri tidak pernah mengenakan sebarang tindakan.
“Kerajaan negeri ada hak mengambil tindakan terhadap pekebun haram, tetapi ia tidak dilakukan dengan harapan mereka dapat berfikir mengenai kebaikan Barisan Nasional (BN) yang tidak menzalimi rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Penyampaian Permit Penggunaan Dalam Hutan Simpanan Kekal Daerah Cameron Highlands di Pejabat Daerah Lipis hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Sallehudin Ishak bersama Pengarah Perhutanan Pahang, Datuk Dr. Mohd Hizamri Mohd Yasin serta Pegawai Daerah Lipis, Datuk Mohd. Hafizi Ibrahim.
Mengulas lanjut, beliau berkata, permit penggunaan tanah yang diberikan tersebut merupakan salah satu inisiatif kerjaan negeri serta Jabatan Perhutanan melaksanakan pemutihan kawasan penerokaan di Hutan Simpanan Kekal Cameron Highlands.
Tambah beliau, kerajaan negeri berhak mengkaji semula kelulusan permit penggunaan tanah di kawasan hutan simpanan kekal pada masa akan datang.
Beliau turut menempelak Pakatan Harapan yang berjanji menyelesaikan isu penerokaan tanah pertanian secara haram di Cameron Highlands kerana urusan berkaitan tanah tertakluk kepada bidang kuasa kerajaan negeri. – K! ONLINE










